Strategi Memburuk-burukkan Pesaing Anda!

Dikarang oleh Administrator pada June 15, 2009

Semasa saya berada di Kuala Lumpur International Book Fair 2009 di PWTC beberapa bulan yang lepas, saya telah membeli buku Dr Irfan Khairi yang terbaru iaitu Soal Jawab Perniagaan Internet.

Buku ini secara ringkasnya memberikan soalan-soalan lazim yang telah diterima oleh Dr. Irfan Khairi di sepanjang pembabitan beliau di dalam dunia internet, dan jawapan yang telah beliau berikan untuk soalan-soalan tersebut.

Buku ini sebagai menjawab persoalan-persoalan rakyat Malaysia yang masih mempunyai rasa ragu-ragu dan tidak faham mengenai cara untuk menjalankan sebuah perniagaan internet.

soal jawab perniagaan internet

Saya tertarik kepada salah satu soalan yang telah dikemukakan kepada beliau iaitu:

“Perniagaan internet saya mempunyai ramai pesaing. Bolehkah saya memburuk-burukkan pesaing saya supaya saya mendapat lebih ramai pelanggan?”

Berikut merupakan 3 perenggan pertama daripada jawapan panjang lebar beliau mengenai persoalan ini:

“Memburuk-burukkan pesaing untuk menaikkan jualan anda adalah perbuatan yang tidak beretika dalam dunia perniagaan (tidak kira di Internet ataupun bukan Internet).

Taktik kotor memburukkan pesaing hanya akan memudaratkan perniagaan anda sahaja. Ini adalah kerana, ia akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa anda seorang yang tidak professional kerana melakukan perbuatan yang tidak beretika.

Menurut pakar motivasi negara Dato Dr Fadzilah Kamsah, sekiranya anda memburuk-burukkan satu perniagaan pesaing anda, 10 orang akan memburuk-burukkan perniagaan anda! Betapa benar kata-kata itu kerana daripada pengamatan saya memang ini yang akan terjadi.”

point finger

Kata-kata Dato Dr Fadzilah Kamsah sama dengan perumpamaan jika anda menunding satu jari kepada orang lain, ada 3 lagi jari anda sendiri yang sedang menunding ke arah anda.

Selalunya disebabkan perasaan dengki dan iri hati di dalam melihat kejayaan orang lain, seseorang individu boleh bertindak untuk mengeluarkan tuduhan dan kata-kata yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan kredibiliti seseorang penjual lain. Perniagaan internet tidak terkecuali di dalam situasi ini. Kadang kala ada individu lain yang mempersoalkan kejayaan seseorang individu yang lain dan bertindak melemparkan kata-kata yang kurang baik melalui forum atau blog dengan tujuan untuk melepaskan geram mereka.

Sepatutnya keadaan yang sebaliknya berlaku!

Di dalam dunia perniagaan internet, kita diberikan satu peluang perniagaan yang amat luas. Tidak semestinya pelanggan anda sama dengan pelanggan saya. Dan tidak semestinya apa yang saya jual sama dengan apa yang ingin anda jual. Oleh itu, peluang ada di mana-mana. Cuma terpulang kepada diri kita sendiri sahaja bagaimana kita ingin mengambil bahagian kita daripada peluang tersebut.

Saya pernah bersembang dengan Mentor Jutawan Azizi Ali mengenai keadaan tersebut. Beliau berkata kepada saya, di dalam dunia perniagaan, kita sepatutnya berkongsi kek yang sedang kita makan dengan orang lain. Apabila kita berbuat demikian dan membantu orang lain untuk berjaya, maka kek tersebut akan menjadi semakin besar dan akan mencukupi untuk semua orang.

Itulah kata-kata seorang jutawan! Tidak hairanlah syarikat beliau sentiasa mencari penulis-penulis baru dengan tujuan untuk membantu mengetengahkan buku dan kepakaran mereka kepada orang lain. Dengan berbuat demikian, beliau juga akan mendapat ganjarannya daripada keuntungan buku yang dikongsi bersama.

Sebagai seorang usahawan internet yang bijak, kita perlu melihat kejayaan orang lain sebagai satu motivasi dan dorongan kepada diri kita untuk mencapai kejayaan yang lebih baik. Jangan kutuk atau merendah-rendahkan kejayaan orang lain. Ucapkanlah tahniah kepada individu tersebut dengan ikhlas dan berusahalah agar anda boleh mencapai kejayaan yang sama atau lebih daripada individu tersebut.

Saya ingin meninggalkan anda dengan satu nasihat – sebaik-baiknya janganlah bertanding dengan orang lain, bertandinglah dengan diri anda sendiri. Setelah anda mencapai satu puncak kejayaan, letakkanlah satu puncak kejayaan yang lebih besar untuk diri anda dan berjuanglah ke arah itu. Setelah mencapai puncak kejayaan tersebut, fikirkanlah satu puncak kejayaan yang lebih besar pula dan berusahalah ke aran itu. Di akhir perjalanan, anda akan dapat melihat yang anda telah berada di kalangan orang-orang yang sudah berjaya atau lebih hebat daripada itu.

Fikirkanlah!

[Post to Twitter] Tweet This Post 

Komen

  • 06-15-2009
    3:13 pm

    Safuan a.k.a Sipenglipurlara

    Yang penting kita jujur pada perniagaan kita dan jangan cuba jatuhkan orang lain


  • 06-15-2009
    3:28 pm

    Shahraduan

    Saya pun tak terlepas dgn Penyakit PHD ini…ada juga yg menggunakan nama saya dan memburukkan saya di ebay.

    Penyakit ini tak kenal siapakah anda sama ada offline @ online..mestI ada yang DENGKI KIANAT!!


Beri Komen

Nama Anda
Required
Email Anda
Required, will not be published
Laman Web Anda
Optional
Komen Anda