Firasat Tahun Baru 2010
Dikarang oleh Eruwan Gerry pada December 30, 2009
Tahun 2009 hampir melabuhkan tirainya dan fajar Tahun Baru 2010 akan menyingsing…

Sebelum kita menjejak kaki ke tahun baru 2010, di sini saya ingin berkongsi dengan anda beberapa pendapat saya mengenai apa yang berlaku kepada dunia perniagaan internet pada tahun 2010 ini:
1. Penjualan Produk Digital di Malaysia
Berdasarkan penambahan bilangan usahawan internet baru yang memulakan perniagaan mereka di Malaysia pada tahun 2009, maka saya amat yakin bilangan usahawan internet baru yang muncul akan lebih besar pada tahun 2010 ini. Ini disebabkan oleh usaha “guru-guru” internet di Malaysia yang tidak berputus asa untuk membantu lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk memulakan perniagaan mereka di dalam dunia internet.
Apakah impak peningkatan bilangan usahawan internet baru di Malaysia kepada perniagaan produk digital anda di Malaysia?
Ini bermaksud semakin ramai penjual yang akan berebut-rebut dengan anda untuk mendapatkan bahagian mereka daripada pelanggan-pelanggan yang terdapat di Malaysia. Bergantung kepada status atau kebolehan pemasaran anda sekarang, ia boleh bermaksud yang keuntungan anda akan berkurangan atau akan meningkat. Jika anda masih baru di dalam dunia perniagaan internet, maka kemungkinan besar keuntungan baik yang telah anda perolehi pada tahun 2009 akan berkurangan pada tahun 2010. Oleh itu, anda perlu membuat persiapan untuk menghadapi pesaing-pesaing baru anda pada tahun 2010 ini.
Anda boleh memikirkan strategi-strategi pemasaran yang baru untuk perniagaan anda di Malaysia atau anda boleh mula mengembangkan perniagaan anda ke luar negara untuk mengambil peluang daripada pasaran global untuk perniagaan internet.
Apa yang penting, anda tidak berpegang kepada strategi lama kerana ianya mungkin sudah ketinggalan zaman untuk membolehkan anda menjana keuntungan daripada internet.
2. Pemasaran Affiliate
Sama seperti firasat pertama saya, sekiranya anda merupakan seorang affiliate marketer di dalam Malaysia, anda akan menghadapi persaingan yang semakin hebat pada tahun 2010 daripada affiliate marketer lain yang juga ingin menjana komisen yang besar daripada produk-produk hebat yang bakal dipasarkan pada tahun 2010.
Anda perlu membuat persiapan yang rapi untuk menghadapi persaingan anda.
Di antara perkara yang boleh anda lakukan adalah menyediakan bonus-bonus hebat yang tidak mungkin boleh disediakan atau ditiru oleh affiliate marketer yang lain. Anda juga perlu memikirkan strategi-strategi promosi baru yang belum lagi difikirkan oleh affiliate marketer yang lain.
Selain itu, adalah amat penting untuk anda mula melebarkan sayap pemasaran affiliate anda ke luar negara. Adalah dijangkakan bahawa bilangan individu yang akan mula membeli secara online pada tahun 2010 adalah jauh lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Ini adalah satu peluang yang tidak boleh anda lepaskan!
Pemasaran affiliate untuk pasaran luar negara adalah lebih mudah untuk dilakukan daripada terpaksa menjual produk anda sendiri ke pasaran luar negara. Ini adalah kerana, kesemua peralatan promosi telah disediakan oleh pemilik produk luar negara yang ingin anda promosikan. Oleh itu, usaha anda lebih mudah kerana tidak perlu menyediakan sebarang bentuk promosi lain kerana ianya semua sudah disediakan untuk anda. Anda cuma perlu memberikan usaha untuk mempromosikan produk-produk tersebut.
Portal affiliate luar negara terbaik untuk anda dapatkan produk-produk affiliate untuk dipromosikan adalah di Clickbank.com. Anda boleh mengunjungi portal tersebut untuk mendapatkan gambaran kasar produk-produk hebat yang boleh anda promosikan kepada pasaran luar negara.
3. Demam Piala Dunia 2010 (World Cup 2010)
Acara paling penting yang akan berlaku pada tahun 2010 adalah kejohanan Piala Dunia 2010 atau lebih dikenali sebagai World Cup 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan. Ia merupakan pertandingan bolasepak yang paling berprestij di dunia yang terletak di tangga kedua populariti sukan dunia selepas sukan Olimpik.
Jika anda merupakan seorang penjual di portal Lelong.com.my atau di eBay, anda perlu membuat persiapan awal untuk mengambil peluang keuntungan daripada kejohanan World Cup 2010 yang akan berlangsung ini.
Terdapat pelbagai produk yang boleh anda jual yang berkaitan dengan kejohanan Piala Dunia ini. Di antaranya adalah Jersi Pemain, Key Chain, Mug, T-Shirt, Cap atau sebarang bentuk produk lain yang anda fikirkan sesuai untuk membangkitkan keinginan pengunjung untuk membeli.
Produk-produk yang anda jual boleh mempunyai kaitan dengan pasukan yang akan bertanding, pemain-pemain terkenal yang akan menyertainya atau berkaitan dengan promosi World Cup 2010 tersebut secara am.
Apa yang penting di sini, anda tidak boleh melepaskan peluang keemasan yang cuma datang setiap 4 tahun sekali ini!
4. Portal Jaringan Sosial (Social Networking)
Tahun 2010 pasti akan menunjukkan peningkatan pengiklanan atau promosi produk yang dilakukan melalui portal Jaringan Sosial atau lebih dikenali sebagai portal Social Networking.
Memandangkan semakin ramai individu di Malaysia dan seluruh dunia yang menggunakan perkhidmatan Social Networking untuk berhubung di antara satu sama lain, maka ini akan menjadikan ia sebagai satu media penting untuk melakukan promosi produk-produk anda. Peralatan-peralatan komunikasi seperti telefon bimbit terkini yang juga disediakan dengan kemudahan komunikasi melalui portal Social Networking juga telah menggalakkan pengembangan penggunaan portal-portal tersebut.
Di antara portal Jaringan Sosial yang penting adalah Facebook dan juga Twitter.
Oleh itu, jika anda masih belum mendaftarkan diri di dalam portal-portal Social Networking ini, maka sudah tiba masanya anda berbuat demikian dan mula menggunakannya untuk membantu di dalam mengembangkan perniagaan online anda.
Jangan lupa untuk menyertai saya di Facebook dan juga Twitter.
5. Perubahan Polisi
Tanpa mengira apa jenis model perniagaan internet yang anda jalankan sama ada di dalam atau luar Malaysia, anda pasti akan terpaksa menghadapi perubahan-perubahan polisi yang akan berlaku pada tahun 2010.
Di dalam Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan akan membuat perubahan pada Akta E-Dagang Malaysia yang mungkin akan menjejaskan perniagaan online anda. Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan – YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan bahawa penjual-penjual yang menjual barangan elektrik dan elektronik secara online di dalam Malaysia perlu memiliki perniagaan berdaftar yang sah selepas perubahan akta tersebut dikuatkuasakan. Belum ada lagi sebarang makluman sama anda perubahan ini juga akan dikuatkuasakan kepada penjual-penjual online yang menjual produk-produk lain selain barangan elektrik dan elektronik. Anda perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Portal Lelong.com.my yang semakin menghadapi persaingan sengit daripada portal-portal lain seperti Mudah.com.my dan juga eBay untuk mendapatkan bahagian mereka daripada pelanggan-pelanggan yang terdapat di Malaysia, sudah pasti akan memperkenalkan polisi-polisi baru pada tahun 2010. Ini adalah perlu untuk menjaga ahli-ahli mereka daripada melarikan diri kepada portal-portal jualan yang lain disebabkan masalah dengan penjual atau kekurangan jualan.
Ebay sudah pasti akan melakukan perubahan yang lebih banyak terhadap polisi-polisi mereka. Kini pihak eBay sedang dalam proses untuk mengemaskinikan kredibiliti penjual-penjual yang terdapat di dalam portal mereka. Objektif mereka adalah untuk memastikan hanya penjual-penjual berkualiti dan mempunyai kredibiliti menjual di dalam portal mereka. Mereka tidak ingin kehilangan ahli-ahli baru yang menghadapi masalah transaksi dengan penjual-penjual yang tidak berkualiti atau tidak mempunyai kredibiliti sebagai seorang penjual.
Sebagai pemasar affiliate yang mempromosikan produk di luar negara, perubahan terkini yang akan menjejaskan anda adalah perubahan akta yang telah dilakukan oleh pihak Federal Trade Commission (FTC) di Amerika Syarikat. Mereka telah bertindak mengetatkan kriteria testimonial pengguna yang boleh disertakan di dalam surat jualan sesuatu produk yang dipasarkan atau dipromosikan di Amerika Syarikat. Hanya testimonial-testimonial yang boleh dibuktikan saja hasilnya dibenarkan disertakan di dalam salespage produk. Jika anda merupakan seorang pemilik produk yang akan memasarkan produk anda luar negara, anda perlu memastikan salespage anda cuma disertakan dengan testimonial yang memenuhi kriteria FTC ini. Oleh itu, jika anda merupakan seorang pemilik produk atau seorang affiliate marketer yang akan mempromosikan produk orang lain, pastikan anda faham tentang perubahan ini dan cuma menjual atau mempromosikan produk-produk yang memenuhi keperluan ini.
Dalam pada itu, anda perlu bersedia sudah menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku di dalam dan luar negara untuk Model Perniagaan Internet anda pada tahun 2010.
Itu saja senarai firasat saya untuk Tahun Baru 2010 ini.
Saya berharap yang ianya akan dapat membantu anda untuk membuat persediaan yang lebih mantap untuk menghadapi tahun 2010 ini.
Saya doakan kejayaan yang lebih hebat untuk anda pada tahun 2010!
Komen
Beri Komen










12-30-2009
3:55 pm
Nabieel
Saya ucapkan tahniah kepada tuan kerana memberi banyak informasi yang berguna.
Selain itu juga terima kasih tak terhingga dengan ilmu-ilmu tuan selama ini.
Ucapan selamat tahun baru dan Selamat Memburu Impian 2010!
12-30-2009
3:59 pm
Boon
Ya, tahun 2010 adalah dianggap bermulanya cabaran yang baru bagi saya. Saya harap bersaingan adalah positif dan produk-prduk yang dihasilkan oleh IM adalah betul-betul berkualiti dan berguna. Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua! Syabas
12-30-2009
5:29 pm
rusliesophian
Salam,
Pertama, saya ucapkan selamat menyambut tahun tahun kepada Eruwan dan semua kawan-kawan.
Saya setuju apa kata sdra. Dalam pada itu saya kagum kegigihan orang kita yang semakin ramai menceburi bidang IM. Ini juga termasuklah saya sendiri yang sedang mencuba nasib. Untung sabut timbul….
Namun dengan usaha yang murni, saya harap semua akan berjaya menempah nama gemilangan dalam dunia IM. Buat duit dan bersedekah….
Selamat maju jaya kepada semua.
12-30-2009
9:33 pm
armangs
perancangan yg rapi perlu dilakukan.. ramai yg dh tau potensi internet dalam menjana pendapatan
01-01-2010
2:23 am
Ruby Kitam
Salam. Terima kasih atas informasi terkini dan kegigihan En Eruwan untuk mendidik lebih ramai di kalangan kita untuk menjadi usahawan internet yang berjaya dan berpendapatan tinggi. Saya masih terlalu baru dengan dunia perniagaan internet – baru belajar 1,2 dan 3. Sedang melabur dan mencari lebih ilmu untuk merealisasikan impian. Persediaan asas sudah ada, sedang usaha keras untuk menjana income dari sistem affiliate. Mudah-mudahan dapat ilmu yang lebih lagi dari tuan. Insya-allah! Selamat Tahun Baru 2010 – teruskan menabur bakti untuk kejayaan semua : INSYA-ALLAH, PASTI REZEKI TUAN BERGANDA-GANDA.
01-01-2010
11:59 pm
UstazCahaya
Salam Tuan Eruwan Gerry.
Selamat Tahun Baru 2010. Semoga tahun baru 2010 lebih baik daripada tahun 2009;-)
PS: Terima kasih untuk maklumat2 terkini dan berguna yang Tuan berikan melalui blog ini dan newsletter Tuan. Ia banyak membantu saya.
01-04-2010
2:17 pm
Rahman
Kudos kepada Sdr Eruwan, semakin lam persaingan bertambah sengit dengan ramainya yang menceburi bidang online marketing ini.
Semakin ramai pula internet marketer yang telah muncul, jika dibandingkan 2 tahun lepas untuk mencari ebook panduan internet marketing dalam Bhs Melayu pun susah.
Walaubagaimana pun terima kasih kepada Bro Eruwan kerana dapat menghasilkan kandungan yang berkualiti dan berguna kepada kami semua.
Selamat tahun baru!